Anda perlu tahu

Jumaat, 15 Januari 2021

7 Punca Rambut Gugur



7 PUNCA RAMBUT GUGUR


Sumber: 1, 2, 3, 4


Semua orang mahukan rambut yang lebat dan sihat. Rambut bukan sahaja memberi impak yang besar terhadap penampilan sekaligus meningkatkan keyakinan diri, rambut yang sihat turut memberi keselesaan. Tidak ada sesiapa yang selesa sekiranya rambut bersepah di bilik mandi dan lantai rumah. 

Sebelum mengetahui punca-punca rambut gugur, ada lebih baik sekiranya anda tahu fasa pertumbuhan rambut yang berkait rapat dengan masalah rambut gugur.


Rambut mempunyai 3 fasa iaitu: 

· Fasa pertumbuhan (anagen)- berlangsung selama 2-6 tahun 

· Fasa segenerasi separa (catagen)- berlangsung selama 10-14 hari 

· Fasa rehat (telogen)- Berlangsung selama 2-3 bulan selepas itu akan gugur 


Kebiasaannya, lebih kurang 100 helai rambut boleh gugur secara semula jadi dalam sehari. Sekiranya rambut gugur secara berlebihan anda mungkin mengalami masalah kesihatan dan perlu mendapat nasihat daripada doktor. Namun, masalah keguguran rambut tidak semestinya berpunca daripada masalah kesihatan. 

Berikut merupakan punca-punca yang boleh menyebabkan rambut gugur: 

1. Tekanan (stress/depression) 

Benar! Tekanan boleh menyebabkan rambut gugur. Keguguran rambut yang disebabkan oleh tekanan yang berterusan akan memaksa kebanyakan folikel rambut ke fasa rehat dimana rambut akan cepat gugur. Tekanan turut mengakibatkan rambut yang mengalami fasa pertumbuhan berkurang dan akan menyebabkan rambut semakin nipis. Keguguran rambut yang disebabkan oleh tekanan dipanggil telogen effluvium. Individu yang mengalami telogen effluvium akan mengalami keguguran rambut yang sekata dan rambut akan semakin jarang di kulit kepala. 

Sesetengah individu yang mengalami tekanan mempunyai tabiat menarik rambut. Aktiviti fizikal menarik rambut ini turut menyumbang kepada keguguran rambut yang kronik. Keadaan ini dipanggil Trichotillomania dan biasa terjadi kepada individu yang mengalami ketidakstabilan emosi seperti serangan panik (anxiety attack) dan tekanan perasaan. Individu yang mengalami Trichotillomania tidak hanya menarik rambut kepala, mereka turut menarik rambut di bahagian lain seperti bulu kening, bulu mata dan bulu pada badan secara berulang kali. Ini menyebabkan masalah rambut gugur secara bertompok. 



2. Pemakanan yang tidak sihat 

Corak diet individu mempengaruhi keadaan rambut kerana rambut menerima nutrisi melalui makanan yang diambil. Individu yang mengamalkan diet kurang protein cenderung mengalami masalah keguguran rambut. Ini kerana protein merupakan keperluan asas dalam membina sel-sel keratin yang membina rambut. Sekiranya badan kekurangan protein, pertumbuhan rambut akan terbantut dan rapuh sekaligus menyebabkan rambut mudah gugur dan semakin nipis. 

Pengambilan gula yang berlebihan juga menjadi faktor rambut gugur. Gula yang berlebihan dalam darah boleh merosakkan kapilari darah yang menghantar oksigen kepada tisu-tisu badan termasuk folikel rambut. Kekurangan oksigen pada folikel rambut mengakibatkan pertumbuhan rambut terbantut dan merosakkan folikel rambut sedia ada. 

Selain gula, pengambilan makanan berminyak juga memberi kesan buruk kepada pertumbuhan rambut. Ini kerana minyak menyekat saluran pada rambut. Saluran yang tersumbat akan memerangkap bukan sahaja minyak dan peluh, tetapi juga hormon yang boleh mencetus keguguran rambut.



3. Penggunaan Produk rambut yang mengandungi bahan kimia berbahaya 

Menggayakan rambut adalah salah satu cara untuk kelihatan menarik dan cantik. Namun, penggunaan produk rambut seperti pewarna rambut yang kerap akan mengakibatkan masalah keguguran rambut. Produk rambut yang mengandungi bahan kimia bukan sahaja merosakkan tekstur rambut tetapi juga merosakkan rambut sehingga ke akar rambut. Oleh itu, mengetahui kandungan bahan kimia dalam produk rambut adalah penting untuk mencegah masalah rambut gugur. 



4. Dandanan rambut yang berlebihan (overstyling) 

Percaya atau tidak, penggayaan rambut juga boleh mengakibatkan kerosakan rambut dan masalah keguguran rambut. Teknik rebonding yang menjadi trend memerlukan rambut terdedah kepada haba yang panas (flat iron) dan bahan kimia yang banyak. Haba panas yang digunakan merosakkan kutikel sehingga ke akar rambut. Penggunaan bahan-bahan kimia untuk membuat rambut lurus tahan lama juga boleh menghentikan pertumbuhan rambut. Sekiranya rawatan tidak dilakukan dengan betul dan baik pada rambut, anda mungkin akan mengalami keguguran rambut yang kronik atau kebotakan yang serius. 

Gaya rambut seperti high ponytail, braided hair dan high bun hair memerlukan cengkaman yang ketat pada rambut. Sekiranya dandanan seperti ini dilakukan secara kerap, rambut akan gugur kesan daripada tarikan dan cengkaman pengikat rambut. 



5. Genetik 

Kebotakan kepala akibat rambut gugur boleh diwarisi seiring dengan peningkatan usia. Rambut gugur yang disebabkan oleh warisan atau dalam istilah lain Alopecia Androgenik (androgenic alopecia) lebih cenderung diwarisi oleh lelaki. Lelaki yang mewarisi Alopecia Androgenik ini menunjukkan symptom seawal umur dua puluhan dimana kebotakan berlaku di hadapan dan atas kepala. Bagi wanita pula, symptom ini lebih ketara pada umur tiga puluhan dan cenderung berlaku di atas kepala pada garisan rambut. 



6. Kesan sampingan ubat 

Ubat dihasilkan untuk merawat sakit dan penyakit. Namun, sesetengah ubat akan memberi kesan sampingan seperti keguguran rambut. Ubat yang memberi kesan sampingan ini meransang folikel rambut terus ke fasa rehat dan menyebabkan rambut gugur terlalu awal. Ubatan seperti pil perancang keluarga (kontraseptif secara oral), ubat kemurungan, ubat rawatan kanser dan ubat tiroid dikenalpasti memberi kesan sampingan rambut gugur. 



7. Rawatan kemoterapi (Chemotheraphy) 

Mekanisme Rawatan kemoterapi menyerang sel yang sedang membahagi secara aktif (actively dividing cell) kerana sel kanser adalah sel yang membahagi secara aktif. Namun, rawatan ini turut menyerang sel lain yang aktif membahagi, termasuk folikel rambut. Oleh itu, rambut pada fasa pertumbuhan rambut akan gugur. Rambut akan gugur dengan banyak kerana 90% folikel rambut berada dalam fasa yang aktif membahagi iaitu fasa pertumbuhan (anagen phase). 

Rabu, 1 Julai 2020

Kepentingan dan Kebaikan Vitamin C



Sumber: pxfuel

APA ITU VITAMIN C?

  • Vitamin C atau secara saintifiknya dikenali sebagai askorbik acid (ascorbic acid) yang boleh didapati secara semula jadi pada makanan seperti sayuran dan buah-buahan.
  • Vitamin C adalah micronutrient yang menjadi keperluan manusia dalam mengekalkan tahap kesihatan pada kadar yang optimum. 
  • Namun, manusia tidak dapat menghasilkan Vitamin C secara semula jadi. Oleh itu, kita perlu mengambil vitamin C dalam bentuk makanan atau makanan tambahan (supplement). 
  • Kekurangan vitamin C akan menyebabkan penyakit scurvy. 
  • Tanda awal penyakit scurvy adalah berasa lemah, penat dan lenguh, gusi mudah berdarah, mudah selesema, luka lambat sembuh dan pendarahan pada folikel rambut 
  • Vitamin C adalah bersifat larut dalam air. Sekiranya anda mengambil jumlah vitamin C melebihi keperluan badan, Vitamin C yang berlebihan akan disingkirkan dari tubuh badan melalui air kencing. 
  • Vitamin C menyumbang banyak kebaikan dan faedah kepada kesihatan dan kecantikan. 

Sumber: flickr


KEBAIKAN VITAMIN C 


1. Vitamin C Sebagai Antioksida yang Melawan Radikal Bebas (Free Radical)


Sumber: Solesence

  • Radikal bebas adalah tindak balas berantai dalam sel badan manusia yang terhasil akibat daripada tindak balas kimia dalam badan. 
  • Sekiranya radikal bebas terkumpul dan tidak terkawal, ini boleh merosakkan sel badan seterusnya memusnahkan tisu badan. Hal ini merupakan penyumbang kepada sumber penyakit kronik seperti kanser, penyakit kardiovaskular (masalah jantung), penyakit katarak dan penyakit keradangan. 
  • Selain faktor dalaman, faktor luaran seperti sinaran UV daripada cahaya matahari, pencemaran udara, asap rokok dan bakteria berbahaya juga boleh menyebabkan radikal bebas. 
  • Vitamin C berkeupayaan meneutralkan radikal bebas, sekaligus melindungi sel-sel badan daripada rosak akibat radikal bebas. 



2. Vitamin C meningkatkan ketahanan badan untuk melawan jangkitan kuman

Sumber: Ivaccinate

  • Vitamin C membantu meningkatkan penghasilan sel imunisasi dan melindungi sel imunisasi daripada rosak akibat radikal bebas. Dengan itu, sistem imunisasi badan anda akan sentiasa bersedia dan bekerja pada tahap yang optimum
  • Vitamin C juga berperanan penting dalam sistem imunisasi dimana ia menyokong sel-sel yang berfungsi untuk menghapuskan dan mencegah jangkitan
  • Individu yang kekurangan vitamin C dalam badan lebih cenderung terkena jangkitan yang menyebabkan selesema dan masalah penafasan.
  • Selain meningkatkan sistem pertahanan badan, Vitamin C turut mengurangkan simptom selesema dan mampu melegakan selesema dengan lebih cepat. 


3. Vitamin C ialah suatu keperluan dalam penghasilan kolagen

Sumber: Whitney E. RD

  • Kolagen ialan komponen yang sangat penting pada kestabilan kulit, tisu dan sendi tulang.
  • Kekurangan vitamin C yang teruk menyebabkan penyakit scurvy dimana individu yang menderita penyakit ini mengalami gangguan penghasilan tisu yang penting seterusnya menyebabkan pendarahan gusi, gigi yang longgar, sakit sendi tulang dan luka sukar sembuh. 
  • Sekiranya penyakit scurvy tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang lebih teruk seperti jaundis, gigi reput, pendarahan dalaman, koma, kegagalan fungsi organ dan boleh membawa maut. 
  • Selain masalah kesihatan, Kekurangan kolagen turut mengganggu tekstur kulit dan menghasilkan kedutan pada kulit. 
  • Oleh itu, pengambilan vitamin C secara berterusan adalah penting untuk mencegah penyakit scurvy. 

4. Vitamin C Meningkatkan Penyerapan Zat Besi (iron)


Sumber: lybrate

  • Zat besi ialah salah satu elemen utama dalam penghasilan hemoglobin (sel darah merah yang membawa oksigen) dalam darah.
  • Kekurangan zat besi ialah punca utama penyakit anemia dan cenderung terjadi kepada wanita yang mengandung. 
  • Pengambilan Vitamin C mampu meningkatkan penyerapan zat besi daripada makanan seterusnya meningkatkan penghasilan hemoglobin. 
  • Oleh itu, wanita yang mengandung dan penghidap anemia memerlukan lebih vitamin C berbanding individu yang tidak mengandung dan sihat. 

5. Mengurangkan risiko penyakit mata seperti Degenerasi Makuna berkaitan usia (Age-related Degradation Macula) dan Katarak mata

Sumber: flickr

  • Age-related Degradation macula (ADM) dan katarak mata ialah gangguan pada tisu retina mata yang mengganggu pandangan kekal.
  • ADM terjadi apabila terdapat kerosakkan atau gangguan tisu kapilari di bahagian retina yang bertanggungjawab terhadap pengelihatan yang tajam. 
  • Penyakit ini adalah punca besar yang menyebabkan kebutaan pada golongan berusia kerana tahap metabolisme retina yang semakin berkurangan. 
  • Selain faktor usia dan genetik, ADM dan katarak mata juga boleh berlaku pada semua golongan usia akibat daripada pendedahan cahaya matahari yang berlebihan dan berterusan, tabiat merokok, jangkitan pada mata dan pemakanan tidak seimbang. 
  • Vitamin C adalah antioxida yang memelihara tisu mata daripada kerosakan akibat radikal bebas. Selain itu, Vitamin C turut menyumbang kepada penghasilan darah agar mata mendapat bekalan darah yang diperlukan. 
  • Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan vitamin C lebih daripada 300mg/hari mengurangkan risiko menghidap katarak mata sebanyak 75%.


KESIMPULAN


  • Vitamin C ialah vitamin yang penting dan harus diambil secara berterusan pada kuantiti yang disarankan.
  • Vitamin C memberi banyak kebaikan kerana ia mampu meneutralkan radikal bebas, meningkatkan ketahanan badan, meningkatkan penghasilan kolagen, membantu tubuh menyerap zat besi dan menggurangkan risiko masalah mata.
  • Vitamin C boleh diambil daripada buah-buahan seperti jambu batu, oren, anggur dan banyak lagi. 
  • Sekiranya anda mengalami kesukaran mendapatkan vitamin C melalui pemakanan, vitamin C juga boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan (supplement). 




Rujukan:







7 Punca Rambut Gugur

7 PUNCA RAMBUT GUGUR Sumber: 1 , 2 , 3 , 4 Semua orang mahukan rambut yang lebat dan sihat. Rambut bukan sahaja memberi impak yang besar t...